Sidang Media Tayangan Perdana Filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah arahan Saiful Reza Shukor di GSC Ioi City Mall Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 2 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Teka-teki siapa pengarah Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah terjawab apabila nama Saiful Reza Shukor dan Shaharudin Md Dali diumumkan sebagai sutradara karya itu.

Penerbit Studio Kembara Sdn Bhd, Abdul Rahman Md Dali berkata, pengumuman dua nama pengarah itu sekali gus menjawab teka-teki pengganti pengarah asal iaitu Areel Abu Bakar yang digugurkan.

Beliau yakin pemilihan dua pengarah itu mampu memberikan hasil yang terbaik untuk filem tersebut dan mereka juga dibahagikan tugas mengikut kemahiran serta bidang yang berbeza.

“Sebenarnya tiada sebarang masalah, apabila melihat plot awal filem ini, kita merasakan ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Ada sudut yang mungkin boleh menjejaskan produk akhir filem ini.

“Jadi disebabkan itu kami bertukar pengarah. Sebagai penerbit saya rasa filem ini perlu ditambah baik dalam pembikinan filem ini.

“Bagi menyiapkan filem ini Shaharudin memberi tumpuan kepada pembangunan skrip dan jalan cerita, manakala Saiful Reza pula fokus kepada babak aksi dan koreografi seperti yang anda tengok,” katanya.

Penerbit Studio Kembara Sdn Bhd, Abdul Rahman Md Dali bercakap dalam sidang Media Tayangan Perdana Filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah di GSC Ioi City Mall Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 2 JANUARI 2024.

Beliau berkata demikian dalam sidang media majlis tayangan perdana filem terbabit, di sini, hari ini.

Sebelum ini, filem tersebut mencetuskan kontroversi apabila Areel mendakwa khidmatnya tidak lagi diperlukan untuk menyelesaikan baki 10 peratus filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd. itu.

Areel berkata, keputusan mengejut itu dibuat syarikat produksi terbabit tanpa perbincangan secara terperinci selepas perkhidmatannya ditamatkan.

Beliau memaklumkan filem tersebut sudah disiapkan hampir 90 peratus penggambaran dan meluahkan rasa kecewa dengan tindakan pihak terbabit.

Mengulas mengenai perkara itu, Abdul Rahman menjelaskan hanya 35 peratus sahaja hasil kerja Areel digunakan dalam filem yang bakal ditayangkan pada umum mulai 11 Januari ini.

“Sebenarnya kita kira-kira visual yang telah disiapkan oleh Areel berdurasi lebih tiga hingga empat jam sebelum disunting.

“Daripada situ hanya 35 peratus sahaja kita gunakan. Sebahagian besar hasil akhir filem ini adalah hasil kerja Shaharudin dan Saiful Reza,”jelasnya.

Abdul Rahman turut memaklumkan, filem yang merupakan sekuel daripada Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu telah menelan kos sebanyak RM15 juta.

Bagaimanapun, beliau menyasarkan jumlah penonton untuk filem terbabit seramai empat juta orang kerana kandungan filem itu memaparkan sejarah dan mesej yang bermanfaat buat yang menonton.

Filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah dibarisi pelakon popular antaranya Fattah Amin, Nur Fazura, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Nadhir Nasar, Nam Ron, Amir Ahnaf dan ramai lagi.

Pengarah, Saiful Reza Shukor bercakap ketika Sidang Media Filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah di GSC Ioi City Mall Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 2 JANUARI 2024.

Sementara itu, Saiful Reza yang juga pengarah bersama mengakui banyak cabaran dan tanggungjawab yang perlu digalas apabila diberi tugas untuk menggantikan orang lain dalam filem tersebut.

“Memang agak mencabar. Saya cuba lakukan yang terbaik terutama dalam babak aksi yang berada di bawah arahan saya.

“Babak drama dan lain-lain saya akan merujuk kepada Shaharudin serta penerbit kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast