Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seekor lembu cedera dipercayai digigit harimau di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kepoh, Jalan Mata Kucing, Labis, Johor pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supt. Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki mengenai insiden tersebut pada jam 6.01 petang semalam.

“Kejadian disedari pengadu apabila mendapati seekor lembu dalam jagaannya telah cedera di bahagian leher akibat digigit haiwan disyaki harimau,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Zamry, hasil siasatan di tempat kejadian oleh dua anggota Jabatan Perhilitan Daerah Segamat mendapati terdapt beberapa kesan tapak kaki haiwan di lokasi kejadian.

Tambah beliau, Jabatan Perhilitan mengesahkan bahawa tapak kaki yang berkukuran 6 inci panjang dan 5 inci lebar itu adalah tapak kaki harimau belang dan kecederaan pada leher lembu masih dalam siasatan .

Sementara itu, Ahmad Zamry memberitahu, Jabatan Perhilitan akan memasang ‘camera trap’ di beberapa lokasi aduan untuk pemantauan laluan harimau berkenaan.

Katanya, pemantauan dan kawalan hidupan liar akan dijalankan dari semasa ke semasa dan sehingga kini tiada laporan polis diterima berkaitan serangan binatang buas ke atas manusia khasnya penduduk berdekatan.

Orang ramai diingatkan supaya lebih berwaspada dengan keadaan sekeliling dan segera menyalurkan maklumat jika terdapat sebarang penemuan tanda-tanda kehadiran haiwan liar tersebut ke Pusat Kawalan Daerah IPD Segamat di talian hotline 07-9324222. – MalaysiaGazette