Gambar hiasan

AMPANG – Gara-gara tidak berpuas hati pintu ditutup dengan kuat, seorang suri rumah cedera dibelasah suaminya ketika bertengkar di rumahnya di Taman Maju Jaya, Ampang Jaya Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa yang berusia 40 tahun mendakwa dipukul menggunakan tangan menyebabkan mangsa sakit dan lebam di bahagian tangan, kaki dan badan.

Kejadian itu dilaporkan mangsa kira-kira jam 2 pagi kelmarin.

Pihaknya menerima aduan daripada seorang mangsa  jam lebih kurang 2 pagi mengenai insiden itu.

“Suri rumah itu kemudian dirujuk ke Hospital Ampang sebelum pemeriksaan doktor perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada tangan kanan, jari tengah sebelah kanan dan kaki kanan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mohd Azam berkata, bertindak atas laporan polis mangsa, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya telah menahan
seorang lelaki berusia 45 tahun petang semalam.

Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati negatif dadah dan suspek tiada memiliki sebarang rekod kesalahan jenayah lampau.

Suspek akan direman di Mahkamah Majistret Ampang pagi ini untuk membantu siasatan lanjut polis.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga merujuk kepada kesalahan boleh tangkap.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette