JOHOR BAHRU – Polis Johor merampas 5.08 tan dadah bernilai RM35.83 juta dengan sitaan harta RM16.6 juta sepanjang tahun lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 16,598 orang ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan dadah, iaitu ketiga tertinggi di Malaysia.
Beliau berkata, bagi kes penagih berulang, sebanyak 615 orang ditahan manakala 127 orang ditahan di bawah Tindakan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya membuat pertuduhan sebanyak 5,728 kes manakala bagi kadar penyelesaian kes pula sebanyak 12,947 kes. Sebanyak 16 sindiket pengedaran dadah ditumpaskan dengan 98 tangkapan.
“Bermula Januari 2023, Op Tapis Khas telah dijalankan di seluruh negeri dengan memberi fokus kepada kawasan hotspot seperti jeti nelayan, projek perumahan rakyat (PPR), lokasi penagih dan kawasan Felda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman berkata, Op Tapis berjaya menahan 1,478 orang atas pelbagai kesalahan dadah iaitu 191 kes bekalan, 293 kes memiliki dadah dan 994 penagih dadah.
Turut ditahan dalam operasi berkenaan 175 suspek berstatus orang dikendaki, katanya.
“JSJN Johor juga telah menyerbu sebanyak 1,423 kali pusat hiburan di seluruh negeri menerusi Op Pusat Hiburan membabitkan 15,243 orang diperiksa manakala 1,105 pula ditahan atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya. – BERNAMA