KUALA LUMPUR – Kapal peronda luar pesisir pertama (OPV1) telah diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) oleh TH Heavy Engineering Berhad (THHE) selepas penangguhannya akibat Covid-19 sebelum ini.

Menurut Ketua Setiausaha KDN, Ruji Ubi berkata, kapal sepanjang 83m dan lebar 13.7m akan digunakan untuk tugasan penguatkuasaan termasuk mencari dan menyelamat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Ia juga boleh mencapai kelajuan 21 knot serta mempunyai fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter dan bilik tahanan, selain turut dilengkapi peralatan canggih seperti pesawat tanpa pemandu (UAV), meriam 30mm Smash Aselsan, dua bot Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dan Fast Interceptor Craft.

“Ianya juga mampu melaksanakan tugas-tugas seperti misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR), bertindak sebagai kapal logistik, kapal mothership, kapal pemerintah serta menjadi tempat penyimpanan kelengkapan pencemaran minyak,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, OPV1 tersebut dibina menggunakan reka bentuk Damen 1800 mampu menjalankan operasi di laut selama 21 hari tanpa ulang bekal dan berdepan laut bergelora sehingga tahap “Force 7”.

Ia juga dilengkapi radar radar X dan S Band bagi memastikan rondaan secara meluas, selain boleh menempatkan 70 anak kapal.

Beliau berharap OPV1 dapat meningkatkan dan memperkasakan lagi pengoperasian Maritim Malaysia dalam menguatkuasakan undang-undang maritim dan memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) dalam keadaan selamat.

Sebagai rekod, kerajaan menyuntik pinjaman sebanyak RM152.6 juta untuk memastikan projek OPV yang diambil disiapkan tahun lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast