kursus elektif kelayakan mikro
Mohammad Shatar Sabran

KUALA LUMPUR – Malaysia mampu menjadi destinasi pelajar terbaik dari serata dunia untuk menyambung pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan berikutan kualiti pendidikan tinggi di negara ini berada pada tahap yang baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pelajar lebih berminat untuk mengikuti pengajian di sesebuah negara berdasarkan reputasi pendidikan tingginya.

Oleh itu, katanya, Malaysia tidak menghadapi masalah mengenai perkara itu berdasarkan pengiktirafan bersama yang dijalankan dalam kalangan badan akreditasi global yang mempunyai jalinan kerjasama dengan MQA.

“Malaysia sering dijemput untuk berkongsi pengalaman dalam jaminan kualiti pendidikan tinggi, terutama dalam konteks penawaran pendidikan fleksibel melalui pelbagai platform seperti persidangan, forum, dialog dan seminar.

“MQA akan terus menjalin kerjasama dengan IPT tempatan tidak mengira awam atau swasta serta agensi lain di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mempromosikan pendidikan tinggi negara dengan lebih strategik,” katanya, hari ini.

Mohammad Shatar memberitahu, beberapa memorandum persefahaman (MoU) sudah dalam perancangan untuk ditandatangani tahun ini dengan negara-negara dari Afrika, Asia Tengah, Asia Barat dan Amerika Selatan.

“Dengan termeterainya semua kerjasama terbabit, pastinya penghantaran pelajar ke Malaysia tidak menghadapi masalah kerana pengiktirafan bersama sudah dilakukan antara negara kita dengan negara-negara berkenaan,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya juga komited untuk merealisasikan hasrat KPT untuk menarik minat 250,000 pelajar antarabangsa menyambung pengajian di Malaysia menjelang tahun depan.

Sambil berharap IPT tempatan mempromosikan program masing-masing secara agresif di luar negara, Mohammad Shatar berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Education Malaysia Global Services (EMGS) bagi menganjurkan Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Malaysia di negara yang akan memeterai MoU dengan MQA/EMGS.

“Peluang itu boleh dimanfaatkan IPT tempatan untuk bertemu dan menonjolkan kualiti pendidikan tinggi kita supaya lebih ramai pelajar antarabangsa menyambung pengajian mereka di Malaysia.

“Selain kualiti pendidikan, kos sara hidup, infrastruktur di kampus yang baik di samping tahap keselamatan juga menjadi faktor utama yang menjadi daya penarik pelajar antarabangsa untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pengajian terutama di peringkat pascasiswazah,” katanya. – MalaysiaGazette