Gambar menunjukkan lelaki yang menumbuk penguatkuasa JPJ menerusi rakaman yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Pemandu lori yang menumbuk seorang penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam rakaman tular di media sosial sudah ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Jitra, Kedah.

JPJ Kedah menerusi kenyataan memaklumkan, pemandu terbabit turut dipenjara sehari dan didenda sebanyak RM4,000 oleh mahkamah.

“Pihak terlibat telah ditahan oleh pihak polis dan didakwa di Mahkamah Majistret Jitra di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

“Mahkamah telah menjatukan hukuman Penjara sehari dari tarikh sabitan dan denda sebanyak RM4,000,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan awal mendapati insiden tersebut berlaku pada jam lebih kurang 4.04 petang, 22 November lalu di Jalan Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah.

Katanya, ketika kejadian, anggota bertugas sedang melakukan tugasan rondaan penguatkuasaan dan mengesan sebuah kenderaanm mencurigakan.

“JPJ Kedah menjalankan satu siasatan awal berkaitan satu video yang tular di laman sosial Facebook, TikTok dan Whatsapp berdurasi satu minit 24 saat yang memaparkan sebuah kenderaan jenis Nissan Vanette yang enggan berhenti semasa ditahan oleh anggota JPJ untuk pemeriksaan lanjut.

“Kenderaan tersebut kemudiannya berhenti di Jalan Tasik Darul Aman, Jitra, dan bertindak menyerang anggota JPJ yang bertugas sambil mengeluarkan kata-kata kesat selain mencetuskan provokasi,” katanya.

Katanya lagi, siasatan juga mendapati, terdapat tiga kesalahan yang dikesan iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) Tamat Tempoh, Tiada Perlindungan Insurans dan Perakuan Puspakom Tamat Tempoh.

“Kenderaan tersebut diarahkan untuk berhenti namun pemandu enggan memberi kerjasama.

“Ketika ditahan, pihak terlibat melakukan kekerasan jenayah dan menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas,” katanya.

Susulan insiden itu, katanya, laporan polis dibuat oleh anggota bertugas. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast