Lori yang membawa muatan kelapa sawit menujuk ke kilang untuk dijual buah tersebut di Felda Chini Timur, Pekan, Pahang. Foto arkib Malaysiagazette

KUALA LUMPUR – Pendapatan peladang Malaysia pada 2024 dijangka akan lebih baik daripada tahun lepas, berikutan kos unit yang lebih rendah berdasarkan perbelanjaan baja yang rendah dan produktiviti yang tinggi, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Bank pelaburan itu berkata, trend harga minyak sawit mentah (MSM) pada tahun ini secara amnya akan sama seperti pada 2023 dan mengekalkan unjurannya untuk purata harga jualan sebanyak RM3,700 satu tan, iaitu di bawah RM3,830 satu tan pada 2023.

Ini berdasarkan penuaian kacang soya di Amerika Selatan yang baik dan menjangka kos unit tahun ke tahun yang lebih rendah, katanya.

“Dari segi trend harga, harga MSM dijangka bermula dengan baik pada suku pertama 2024 berikutan kitaran pengeluaran yang rendah mengikut musim dan trend rendah pada pertengahan 2024 berikutan jangkaan pengeluaran yang lebih baik secara bermusim pada separuh kedua 2024,” menurut Maybank IB dalam nota penyelidikan hari ini.

Pasaran turut memantau El Nino yang berlaku yang menyebabkan penanaman kacang soya di Brazil ditangguhkan.

Katanya kegagalan tanaman boleh menyebabkan kenaikan harga MSM dan pada masa yang sama, pasaran bimbang kemelesetan global boleh menjejaskan harga MSM.

“Jika keadaan cuaca buruk berterusan di Brazil dalam tempoh dua bulan akan datang, ia boleh menaikkan harga kacang soya, yang akan memberi manfaat kepada harga MSM secara tidak langsung juga,” menurut Maybank IB.

Katanya impak daripada kadar faedah Amerika Syarikat yang tinggi, perang Rusia-Ukraine dan Israel-Hamas serta kedudukan kewangan banyak negara mewujudkan ketidaktentuan kepada permintaan global.

Permintaan yang lebih rendah daripada jangkaan akan menyebabkan simpanan stok yang lebih tinggi daripada jangkaan, menjejaskan harga MSM, katanya.

Sementara itu, bank pelaburan itu berkata kerajaan Malaysia sedang menjalankan kajian komprehensif mengenai cukai dalam sektor minyak sawit dan berharap dapat menyelesaikan kajian itu pada tahun ini.

“Antara lain, peladang meminta semakan semula levi keuntungan luar biasa sektor perladangan.

“Pada masa ini, levi sebanyak 3.0 peratus dikenakan bagi setiap tan tandan buah segar (FFB) ke atas harga MSM melebihi ambang RM3,000 satu tan di Semenanjung Malaysia dan melebihi ambang RM3,500 satu tan di Malaysia Timur,” menurut Maybank IB.  – BERNAMA