Orang ramai membeli bekas simpanan air sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan air selama empat hari bermula 10 Januari depan di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Rata-rata penduduk Pulau Pinang meluahkan rasa bimbang gangguan bekalan air berjadual yang dijangka berlaku selama empat hari bermula 10 Januari ini akan berlarutan daripada tempoh diberikan.

Kebimbangan itu disuarakan kebanyakan penduduk berdasarkan pengalaman terdahulu yang mana mereka mendakwa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) gagal melaksanakan tugas dalam tempoh yang diberikan.

Menurut K. Hema Barathi, 49, dia terpaksa menghabiskan duit ratusan ringgit untuk membeli bekas simpanan air bersaiz besar sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan air nanti.

Hema Barathi.

Jelas pekerja swasta itu, dia terpaksa berbuat demikian memandangkan dalam tempoh gangguan bekalan air itu pejabatnya beroperasi seperti biasa.

“Sebelum ini saya simpan air dalam kolam dan bekas yang sedia ada di rumah namun berdasarkan gangguan bekalan air sebelum ini tempoh yang dijanjikan PBAPP selalu meleset menyebabkan saya terpaksa menginap di hotel kerana simpanan bekalan air tidak mencukupi.

“Jadi kali ini saya memilih untuk membeli bekas air bersaiz 200 liter tambahan pula makin kerap negeri ini mengalami gangguan bekalan air tidak dijangka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bagi Marjanah M Sheriff, 62, pula, mereka enam sekeluarga merancang untuk melancong ke ibu negara dalam tempoh tersebut.

“Kami berdepan situasi tiada air lebih dua hari daripada tempoh dimaklumkan susulan paip dasar di Sungai Perai pecah pada minggu ketiga Disember lalu.

Marjanah.

“Keadaan itu amat menyukarkan kami sekeluarga dari segi persiapan ke tempat kerja, penjagaan dua cucu yang berusia kurang dua tahun serta aktiviti memasak.

“Disember lalu saya menumpang di rumah saudara di Sungai Petani jadi kali ini kami sekeluarga ambil keputusan untuk pergi bercuti dengan harapan PBAPP tunai janji siapkan kerja dalam tempoh dimaklumkan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati penjualan bekas air laris ibarat pisang goreng namun harganya melambung tinggi.

Menurut Teoh Mun Li, 38, dia terpaksa membeli meskipun harga bekas simpanan itu mencapai RM100 kerana lebih lima premis penjualan plastik yang dikunjungi kehabisan stok.

“Saya tinggal di Bayan Lepas tapi terpaksa ke Relau untuk mendapatkan bekas simpanan air, jadi  walaupun mahal saya terpaksa beli.

“Bukan saja itu, air mesti disimpan sekurang-kurangnya seawal 7 Januari kerana makin dekat tempoh gangguan mesti ramai akan guna air jadi mungkin tekanan rendah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Gangguan bekalan air empat hari di P. Pinang bermula 10 Januari ini

Media sebelum ini melaporkan seramai 590,000 pengguna air berdaftar di Pulau Pinang berdepan gangguan bekalan air selama empat hari bermula 10 hingga 14 Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, ia susulan bagi membolehkan kerja penggantian dua injap berdiameter 1200 milimeter (mm) pada saluran paip air terawat utama Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua serta paip berhampiran pagar LRA yang bocor. – MalaysiaGazette