Shahidan Syed Saddiq hijrah UMNO kuat veteran pengampunan BN PH PRN
Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mara ke hadapan tanpa mempedulikan langkah yang dilakukan oleh ‘desperado politik’ untuk menumbangkan kerajaan.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, mereka sengaja berbuat demikian bagi mengalihkan fokus Anwar daripada bekerja untuk negara.

Menurut beliau, apa yang pasti, langkah mereka sama ada ke London atau Dubai adalah langkah sumbang yang membentes kaki sendiri.

“Biarlah mereka terus-menerus berangan-angan untuk menebuk atap atau mengorek gelegar.

“Biarkanlah Si Luncai terjun ke dalam sungai dengan labu-labunya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Anwar menganggap Langkah Dubai yang didakwa bertujuan menjatuhkan kerajaan tidak memberi kesan kepada pentadbirannya dan beliau mahu memberi tumpuan bekerja untuk rakyat serta negara.

Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop membangkitkan desas-desus mengenai Langkah Dubai yang didakwa digerakkan oleh pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan dengan matlamat untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Mustapha berkata, apa yang penting, Anwar mesti memperkemaskan barisan Kabinetnya serta memastikan mereka bekerja untuk rakyat, bersih dari rasuah, berintegriti, telus, kurang bercakap dan banyak bertindak.

Beliau memberitahu, kerajaan juga perlu menunaikan janji-janji mereka semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kepada rakyat.

“Rakyat memerhati dan mahu melihat tindakan. Bukannya sekadar retorik,” jelasnya.

Mustapha berkata, Kerajaan Perpaduan perlu memenangi PRU16 agar ia kekal mentadbir pada penggal seterusnya demi rakyat dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast