PADANG BESAR – Polis menahan 22 individu dan merampas pelbagai barangan bernilai RM1.07 juta termasuk minyak bersubsidi dipercayai untuk diseludup ke negara jiran dalam operasi bersepadu pencegahan jenayah serta penyeludupan di daerah ini, dalam tempoh dua minggu ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kesemua ditahan terdiri daripada enam lelaki tempatan serta 11 lelaki dan lima wanita warga Thailand berusia antara 19 hingga 74 tahun.

Beliau berkata, barangan yang dirampas melibatkan minyak bersubsidi iaitu 1,400 liter petrol, 981.5 liter diesel dan 69 peket minyak masak selain 12 pikap, dua kereta serta beberapa peralatan mengisi minyak.

“Pikap ini ada pengubahsuaian tambahan pada bahagian tangki untuk membawa minyak petrol dan diesel bersubsidi berlebihan kuantiti dengan majoriti kenderaan berkenaan merupakan kenderaan asing,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sini hari ini.

Operasi bersepadu yang turut disertai Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu dilancarkan Muhammad pada 16 Disember lepas.

Muhammad berkata, daripada 22 individu itu, tiga lelaki berusia lingkungan 20-an merupakan orang dikehendaki polis mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Padang Besar juga telah membuka 13 kertas siasatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut Muhammad, pihaknya akan bersama-sama membantu kerajaan terutama KPDN bagi menangani isu ketirisan barangan bersubsidi.

“Mana-mana individu yang terlibat dalam apa jua aktiviti penyeludupan akan diambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Polis akan kekal fokus bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara,” katanya menambah operasi berkenaan akan diteruskan bagi fasa dua dengan lokasi masih tertumpu terhadap daerah ini. – Bernama