Sekumpulan individu dari keluarga yang sama terlibat dalam tolak menolak selepas barang perniagaan halang laluan gerai dalam kejadian di Kompleks Sukan Pandamaran Klang Ahad lalu.IHsan IPD Klang Selatan

KUALA LUMPUR – Sekumpulan ahli keluarga bergaduh sesama sendiri kerana tidak berpuas hati apabila laluan di antara gerai dihalang dengan barang perniagaan di gerai perniagaan di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada Ahad lalu.

Kejadian itu kemudian bertukar tegang sehingga berlaku tolak-menolak.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima aduan pada 1 Januari lalu jam lebih kurang 3.32 pagi daripada seorang wanita  tempatan berumur 28 tahun.

Katanya, pergaduhan berlaku apabila laluan di antara dua gerai dihalang dengan barangan gerai ibu saudaranya.

Ibu pengadu telah menegur ibu saudaranya lalu tercetus pertengkaran mulut yang kemudiannya membawa kepada insiden tolak menolak di antara mereka.

Hoong Fong berkata, pergaduhan itu telah dileraikan oleh ahli keluarganya dan peniaga gerai lain yang berada di lokasi tersebut.

Polis telah selesai mengambil keterangan daripada enam individu yang terlibat dalam pergaduhan tersebut bagi membantu siasatan lanjut.

Insiden yang tular di media sosial itu, bagaimanapun tidak mencederakan mana-mana individu.

“Oleh kerana pergaduhan tersebut berlaku diantara ahli keluarga, kesemua individu yang terlibat tidak mahu meneruskan siasatan polis dan telah berdamai secara baik.

“Pada masa yang sama, pegawai penyiasat telah memberikan nasihat kepada semua yang terlibat dalam insiden itu agar tidak mengulangi perkara yang sama,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast