KUALA LUMPUR – Kerajaan dinasihatkan untuk menangguhkan pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming menggesa penangguhan itu sehingga beberapa beberapa kecacatan keselamatan diperbetulkan disebabkan wujud kecacatan dalam sistem tersebut.
“Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, melalui platform sosial X mengatakan data yang disatukan daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan tidak dipaparkan kerana kebimbangan keselamatan dan kemungkinan penggodaman.
“Tetapi pengguna perlu mengisi lagi maklumat terbabit dan bagaimana data itu tidak sama dengan apa yang terdapat dalam pangkalan data PADU dan bagaimana sistem berkenaan maklumat lain berkaitan pendapatan sewaan tanah atau aset?
“Selain itu terlalu banyak ruangan perlu diisi, pasti meningkatkan kebarangkalian pengguna tidak mengisi maklumat dengan tepat bagi membolehkan mereka terus layak menikmati subsidi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar semalam berkata, pelaksanaan PADU dapat menyelesaikan masalah ketirisan, penipuan dan kebocoran yang berlaku sebelum ini.
Untuk rekod, PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Kian Ming berkata, kewujudan pangkalan data PADU bertujuan melancarkan lebih banyak subsidi bersasar, termasuklah penarikan subsidi petrol tidak disasarkan untuk diletakkan melalui mekanisme subsidi bersasar.
“Malangnya, pangkalan data PADU sedia ada tidak mungkin mencapai objektifnya, berikutan ada penerima bantuan kerajaan seperti Bantuan Tunai Rahmah (BTR) tetapi tidak layak menerima kerana mempunyai pendapatan bukan cukai lain seperti pendapatan sewa rumah dan memiliki tanah. Ia kerana mereka tidak akan mengisi maklumat tepat dalam sistem PADU.
“Selain itu, ada isu keselamatan utama dengan pendaftaran PADU di mana jika anda mempunyai nombor kad pengenalan (IC) dan poskod yang dikaitkan dengan alamat IC pengguna, sesiapa saja boleh mendaftar untuk akaun PADU individu itu, tanpa perlu melalui Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital (e-KYC),” kata Kian Ming lagi.
Malah kata Kian Ming, kecacatan yang ketara adalah sebarang entri boleh ditukar termasuk kelayakan akademik individu.
“Kesemua pendaftaran akaun PADU untuk mereka tanpa melalui pengesahan e-KYC. Saya juga boleh menukar beberapa butiran untuk kelayakan akademik dan pekerjaan Hannah tanpa perlu melalui pengesahan e-KYC tanpa pengetahuan beliau,” katanya.
Kian Ming berkata, perkara itu diketahui selepas menguji pendaftaran PADU dalam kalangan empat pemimpin DAP mengikut alamat kad pengenalan dan poskod bagi pihak Hannah Yeoh, Steven Sim Chee Keong, Liew Chin Tong dan Teo Nie Ching. – MalaysiaGazette