KUALA LUMPUR – Bekas pemain import Terengganu FC (TFC), Adisak Kraisorn kembali ke Liga Thailand diumumkan sebagai pemain baharu Bangkok United.
Pengumuman pemain yang sinonim dengan jaringan gaya watak Ultraman itu diumumkan sebagai penyerang baharu Bangkok United bagi musim 2023/24 menerusi media sosial rasmi kelab itu hari ini.
Adisak bukan nama asing dalam kalangan peminat bola sepak Asia Tenggara kerana dia merupakan tonggak utama skuad kebangsaan Thailand dan sering mewakili negaranya di pentas antarabangsa.
Awal musim ini, bekas pemain kelab Muangthong United FC dalam Liga Thailand berusia 31 tahun itu menandatangani kontrak selama dua tahun (1+1) bersama skuad Penyu sehingga musim 2024.
Berdasarkan rekod, penyerang yang mempunyai sentuhan berbisa itu pernah memenangi gelaran penjaring terbanyak kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) pada 2018.
Pemain berketinggian 1.83 meter yang kini bersama pasukan kebangsaan negaranya dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pernah membantu Thailand menjulang trofi piala ini pada 2014 dan 2020.
Selain kelab Muangthong United, pemain yang sudah membuat 49 penampilan dengan meledak 19 gol bersama pasukan kebangsaan negaranya pernah menyarung jersi kelab Phuket FC, Buriram United FC, BEC Tero Sasana FC dan Port FC dalam Liga Thailand.
Sebelum ini, Adisak bersama Adib Zainuddin, Azarul Nazarith, Rahmat Makasuf, Habib Haroon, Liridon Krasniqi, Jordan Mintah, Adisak Kraisorn, Omid Nazari, Sardor Kulmatov, Mohamad Shafawi, Fazli Ghazali dan Sony Norde merupakan pemain yang meninggalkan TFC
Kelab itu pada musim depan dilaporkan akan mengurangkan perbelanjaan mereka terutamanya melibatkan pemain import dan difahamkan juara Piala FA 2011 itu tidak akan memenuhkan kuota tonggak luar negara mereka musim depan. – Agensi