Antara miniatur busana Tradisional Malaysia yang di pamerkan pada Majlis Penyerahan Busana Tradisional Malaysia Fasa Kedua Di Bawah Inisiatif Diplomasi Budaya di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 04 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA –  Bagi mengangkat keunikan dan kepelbagaian budaya etnik utama di negara ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meneruskan kerjasama dengan Kementerian Luar dengan menambahkan lagi 20 busana tradisional lengkap dengan aksesori kepada kedutaan terpilih.

Menurut Menteri Luar, Datuk Mohamad Hasan berkata, kesemua busana yang diterima itu akan diletakkan di kedutaan-kedutaan besar yang mempunyai hubungan baik dengan Malaysia.

Selain itu, kedutaan-kedutaan tersebut mempunyai ruang yang mencukupi untuk menempatkan busana-busana tersebut.

“Busana ini amat berguna kepada kami di Kementerian Luar kerana kedutaan kita di luar negara boleh menjadi tempat untuk memperagakan atau promosikan pakaian seni budaya pelbagai etnik di Malaysia untuk lebih dikenali oleh masyarakat antarabangsa.

“Kedutaan kita boleh menjadi sebagai tempat untuk mempromosikan budaya supaya Malaysia lebih dekat lagi di kawasa masing-masing,” katanya selepas menyempurnakan penyerahan busana tradisional Malaysia fasa kedua dibawah Inisiatif Diplomasi Budaya bagi memperkasakan aktiviti seni budaya dan warisan negara di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Untuk rekod, ini adalah kali kedua penyerahan pelbagai busana etnik di negara ini dilalukan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kepada Kementerian Luar sejak dua tahun lalu.

Dalam pada itu, King Sing berkata, inisiatif ini merupakan salah satu usaha kementerian untuk meningkatkan kefahaman dan peranan duta-duta Malaysia di luar negara dalam mempromosikan seni dan budaya negara serta mengukuhkan kolaborasi budaya dengan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan antarabangsa.

“Kerjasama silang budaya ini dapat mewujudkan peluang sinergi dengan menarik penglibatan aktif pihak swasta, badan bukan kerajaan, komuniti, kerjasama antara kementerian dan jabatan kerajaan terhadap pembangunan dan kelestarian seni budaya dan warisan,” katanya dalam ucapan dalam majlis sama.

Antara pejabat kedutaan yang akan menerima set busana tradisional ini ialah Kedutaan Brunei Darussalam, Kedutaan Australia, Kedutaan Belanda, Kedutaan Itali, Keduataan Rusia, Kedutaan Afrika Selatan, Kedutaan UAE, Kedutaan New Zealand, Kedutaan Amerika Syarikat, Kedutaan Uzbekistan, Kedutaan Sepanyol, Kedutaan Indonesia, Kedutaan Vietnam, Kedutaan Brazil, Kedutaan Argentina, Kedutaan Qatar, Kedutaan Kanada, Kedutaan Austria dan Kedutaan Morocco.

Pada Januari 2022, MOTAC dan Kementerian Luar memulakan kerjasama sama dengan mempamerkan lima jenis busana kebudayaan merangkumi etnik Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak dengan aksesori lengkap akan diserahkan kepada Pusat Kebudayaan ASEAN di Bangkok, Thailand serta 10 Pejabat Kedutaan Malaysia di luar negara terpilih. – MalaysiaGazette