Johor Bahru menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa meningkat kepada 406 daripada 102 keluarga, yang ditempatkan di empat PPS, setakat 8 malam ini.

JOHOR BAHRU – Mangsa banjir Johor terus meningkat setakat pukul 8 malam ini kepada 1,024 orang daripada 252 keluarga melibatkan empat daerah terjejas yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS).

Berbanding pukul 2 petang tadi hanya 522 mangsa banjir melibatkan 120 keluarga telah ditempatkan di sembilan PPS.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN) Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, Johor Bahru menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa meningkat kepada 406 daripada 102 keluarga yang ditempatkan di empat PPS setakat 8 malam ini.

Sementara itu, Mersing pula kekal dengan 212 mangsa daripada 56 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan dan SK Tenglu.

“Kluang pula merekodkan peningkatan kepada 60 mangsa daripada 18 keluarga ya g ditempatkan di Dewan MPK Kahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, MetMalaysia hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di beberapa kawasan di Johor bermula hari ini hingga Ahad depan.

MetMalaysia memaklumkan amaran itu melibatkan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang diramal berlaku melibatkan Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Johor (Batu Pahat dan Pontian).- MalaysiaGazette