Anggota JIM Johor menyoal siasat warga Bangladesh yang memiliki pasport individu lain. Foto kredit:JIM Johor

JOHOR BAHRU – Tindakan seorang juruwang warga Bangladesh yang menyimpan tiga  pasport milik individu lain memakan diri apabila dia ditahan dalam Ops Serkap yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di sekitar bandar raya ini, semalam.

Lelaki warga Bangladesh itu ditahan kira-kira pukul 9.10 malam di sebuah kedai makan di Taman Abad di sini.

Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir berkata, hasil penahanan ke atas suspek pihaknya berjaya menemukan tiga bungkus plastik merah yang mengandungi enam naskah pasport warganegara Bangladesh dan India yang disorok di dalam laci di sebuah bilik berkunci.

Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu memberi kebenaran PATI berada di dalam premis.

“Dia juga disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Passport 1966 (Akta 150) kerana tanpa kuasa yang sah, ada dalam milikannya mana-mana pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang selain dirinya,”katanya dalam satu kenyataan meida di sini hari ini.

Dalam operasi itu juga JIM Johor turut menahan tiga lelaki warga Bangladesh termasuk juruwang terbabit dan dua wanita warga Indonesia berusia 22 hingga 45 tahun.

Kesemua yang ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Dua wanita warga Indonesia ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri.Manakala dua lelaki warga Bangladesh di tahan di bawah Peraturan 17(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang dikeluarkan, katanya.- MalaysiaGazette