KUANTAN – Tiada janji, lihat bukti. Setiap aduan atau permasalahan perlu diambil berat bagi meringankan beban rakyat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri memberi perhatian dan berusaha bagi menyelesaikan aduan tidak kira siapa yang mengutarakan isu.
Menurutnya, aduan yang diterima pada pertengahan Disember lalu berkaitan laluan gelap masuk ke Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) oleh penuntutnya cuba ditangani segera
“Alhamdulillah cahaya untuk jalan utama Polisas, Semambu. Kini jalan di situ sudah terang. Baru-baru ini pelajar Polisas mengadu dekat saya jalan utama ke situ gelap,” katanya dalam hantaran media sosialnya hari ini.
Setelah itu, Wan Rosdy berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuantan telah menyegerakan pemasangan lampu di kawasan berkenaan dalam tempoh dua minggu.
“JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik telah selesai pemasangan dan baik-pulih lampu di sepanjang jalan tersebut. Alhamdullilah.Terima kasih JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik,” katanya. – MalaysiaGazette