Nga Kor Ming.

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membatalkan lesen perniagaan mana-mana pihak yang didapati melanggar syarat pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menyewakan premis mereka kepada warga asing.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, KPKT menerusi PBT tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing memohon atau memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan di pasar selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian.

Jangan lupa salah satu prinsip Rukun Negara kita adalah Kedaulatan Undang-undang jadi tindakan batalkan lesen dilakukan apabila kita syaki premis atau lesen yang dikeluarkan PBT disalah guna termasuk disewakan kepada warga asing.

“Malah, untuk rekod PBT seluruh negara telah melaksanakan sebanyak 1,539 operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang melibatkan warga asing bagi tahun 2022 sehingga 31 Oktober lalu.

“Menerusi operasi tersebut sebanyak 26,108 lesen peniaga telah dibatalkan atas sebab pelanggaran syarat-syarat lesen/premis yang dibuat oleh PBT,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini, hari ini.

Nga Kor Ming (tiga dari kanan) pada majlis penyampaian hadiah pertandingan reka bentuk pembinaan Pasar Awam Bukit Mertajam di Ibu Pejabat MBSP, Pulau Pinang hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan hadiah kepada peserta pertandingan reka bentuk pembinaan Pasar Awam Bukit Mertajam.

Tambah Kor Ming, kerajaan sentiasa konsisten untuk membela keselamatan dan kesejahteraan masyrakat tempatan.

“KPKT juga bersedia memberi kerjasama padu dengan kementerian lain bagi program turun padang sebagai usaha mengekang penularan masalah perniagaan secara haram oleh warga asing,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. harap semua pbt ambil tindakan segera membatalkan lesen yg menyewa kepada pendatang haram ni..jika tidak harap sprm masuk dan ambil tindakan terhadap mana mana pbt yg cuai dan sengaja melambat lambatkan tindakan tersebut. minta supaya berkerjasama dengan JIM..

Comments are closed.