Pelajar UTeM sewaktu pembelajaran di makmal berteknologi tinggi.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menawarkan 10 program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dan Teknologi Kejuruteraan yang menjadi pilihan utama bagi industri pekerjaan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim berkata, ia merupakan peluang keemasan yang dinantikan oleh ramai pelajar bagi melanjutkan pengajian dalam bidang TVET aras tinggi yang terus menjadi buruan industri.

Menurutnya, program ditawarkan itu adalah bagi kemasukan pelajar baharu untuk Semester 2, Sesi 2023/2024 yang dijadualkan bermula pada bulan Mac ini.

“Peluang ini terbuka kepada calon-calon lepasan diploma, SPM, STPM, politeknik, matrikulasi, asasi dan diploma setarafnya yang belum melanjutkan pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi.

“Kesemua program ini merupakan pilihan utama pihak industri tempatan, nasional dan antarabangsa serta ia memiliki daya besar untuk menyumbang kepada kebolehpasaran graduan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pemohon perlu memiliki Keputusan MUET sekurang-kurangnya Band 2/2.0 dan mereka boleh memohon secara dalam talian (prcuma) menerusi laman sesawang www.utem.edu.my/kemasukan di mana tarikh tutup permohonan adalah pada 9 Januari ini.

Menurut Zulkifilie, program yang ditawarkan meliputi lima program kejuruteraan iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan kepujian, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Industri dengan kepujian, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan kepujian, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer dengan kepujian serta Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan kepujian.

Manakala lima program teknologi kejuruteraan pula adalah Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dengan kepujian, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Proses dan Teknologi) dengan kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Rekabentuk Produk) dengan kepujian.

Selain itu, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi) dengan kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Elektronik Industri) dengan kepujian turut ditawarkan.

“UTeM mempunyai keunikan tersendiri dengan pembelajaran berkonsepkan teaching factory manakala setiap program yang ditawarkan juga dilengkapkan dengan pensijilan profesional di samping kurikulum yang disediakan tentunya menepati keperluan industri dunia,” ujarnya.

Hasilnya terbukti dengan kadar kebolehpasaran graduan UTeM terus mencatatkan peningkatan peratusan yang tinggi pada setiap tahun iaitu tahun 2020 (88.1%), 2021 (91.1%) dan 2022 (96.4%). – MalaysiaGazette