Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2024 ketika di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR –  Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bermula Tingkatan 4 dilihat memadai pada waktu ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendidikan bidang berkenaan dilihat tidak sesuai dilaksanakan di peringkat sekolah rendah kerana melibatkan beberapa kesan lain termasuk kapasiti yang terhad.

“Laporan Jawatankuasa Kabinet setuju peringkat ini selepas Tingkatan 3.

“Untuk nak ke bawah lagi tu memang dalam perbincangan sebab ada implikasi lain tapi kalau mula selepas Tingkatan 3. Saya fikir cukup memadai kerana kapasiti  TVET juga terbatas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab semasa Wacana Strategi Pendidikan Tinggi di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Sementara itu, Perdana Menteri bersetuju jika Malaysia dapat menjadi hab pendidikan.

Menurut Anwar, ia akan meningkatkan lagi minat pelajar luar untuk menuntut di universiti tempatan.

“Prinsip jadikan Malaysia sebagai hab pendidikan saya setuju sebab minat bertambah walaupun disebut 2016 sebab itu kita permudahkan perkara libatkan visa,,” ujarnya. – MalaysiaGazette