KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) akan memastikan pindaan Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 dibentang dan diluluskan pada sidang Parlimen akan datang.
Ketua Pemuda Amanah Nasional, Senator Hasbie Muda berkata, ia bagi memastikan rakyat bebas untuk berhimpun dengan lebih mudah tanpa syarat yang menyusahkan.
“Walaupun APA lebih baik berbanding Akta-Akta sebelum ini, tetapi ia menyusahkan rakyat untuk berhimpun dan menyatakan pandangan mereka itu.
“Walaupun kita hanya perlu beri maklumat, tapi makluman itu banyak perlu diisi, kebenaran tuan tanah dan sebagainya.
“Sebagai pembuat dan penggubal undang-undang, saya nampak kepentingan untuk kerajaan menyegerakan pindaan APA2012,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Terdahulu Hasbie yang juga Ahli Dewan Negara bersama 13 individu lain dipanggil untuk memberi keterangan berhubung penglibatan dalam perhimpunan Kepung Demi Palestin.
Selain itu, Hasbie memberi jaminan Amanah akan memastikan pindaan APA2021 diluluskan segera, selaras dengan reformasi institusi.
“Selaras dengan kerajaan Madani yang nak bawa reformasi, saya nampak APA2012 ini akta paling awal yang perlu didahulu dan dipinda oleh kerajaan.
“Kita dalam Dewan Negara akan menyokong dan bersama-sama melakukan pindaan tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette