KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta memberi ruang kepada polis untuk menyiasat dakwaan penyelewengan kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta oleh sebuah ejen kutipan zakat yang dilantik Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara berkenaan kini dalam siasatan polis.
“Saya baru dimaklumkan mengenai siasatan polis dijalankan terhadap dakwaan penyelewengan wang zakat tersebut. Kita mengharapkan satu siasatan terperinci akan dijalankan.
“Saya juga harap kita semua mengambil pendekatan menunggu dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk menjalankan siasatan,” katanya menerusi video yang dikongsi di Facebook miliknya, hari ini.
Pada masa sama, Mohd Na’im turut menzahirkan kekecewaan sekiranya penyelewengan itu terbukti berlaku membabitkan agensi yang dipertanggungjawabkan mengutip dan mengagihkan wang zakat.
“Jadi, agak sedihlah sekiranya ada dalam kalangan kita ini yang ambil peluang untuk menyeleweng duit zakat.
“Ia tak boleh diterima kerana ia satu pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan,” ujarnya.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan dijalankan selepas syarikat terbabit dipercayai gagal mendepositkan wang zakat bermula Mac hingga September 2023.
Katanya, kes itu antara empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat sepanjang tahun lalu.
Beliau memaklumkan, dua kes lain direkodkan di Selangor diikuti satu kes di Terengganu selain satu kes di Perak dengan jumlah keseluruhan kerugian berjumlah RM9.71 juta. – MalaysiaGazette