Gambar hiasan

KUANTAN – Polis Daerah Lipis menerima dua laporan berhubung kes penipuan rumah sewa di Taman Emas, Kuala Lipis pada 31 Disember lepas.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa memberitahu telah terjumpa maklumat mengenai unit rumah sewa itu yang diiklankan di laman Facebook.

Katanya, kedua-dua mangsa seterusnya menghubungi pihak pengiklan tersebut yang dikenali sebagai ‘Nizam’.

“Setelah dihubungi, pihak terbabit memberitahu mangsa bahawa sewa bulanan yang dikenakan adalah sebanyak RM1,700 sebulan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Superintendan Azli Mohd Noor

Bagaimanapun, Azli berkata, mangsa diminta membayar wang pendahuluan berjumlah RM600 sekiranya berminat untuk menyewa rumah jenis teres dua tingkat tersebut.

Jelas beliau, bagi meyakinkan kedua mangsa agar meneruskan urusan transaksi pembayaran, suspek juga meminta mereka menunggu di lokasi rumah berkenaan bagi melihat keadaannya.

“Namun, setibanya mangsa di lokasi yang diberikan itu, pihak terbabit tidak muncul, bahkan telah menyekat talian telefonnya,” katanya.

Azli berkata, kedua-dua mangsa sedar diperdaya setelah mendapati premis kediaman terbabit masih berpenghuni dan terus membuat laporan polis.

Berikutan itu, Katanya, dua kertas siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan telah dibuka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast