Norlizah menyaikan cenderamata kepada salah seorang penerima di Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi Jasamu Dikenang di Kota Tinggi hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor ini tiada cadangan untuk menangguhkan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) berikutan banjir yang melanda di beberapa kawasan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, sebaliknya peperiksaan SPM akan berjalan seperti biasa bermula esok.

“Kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah bekerjasama dalam menetapkan ‘Ops Payung’ sekiranya berlaku bencana banjir sewaktu musim peperiksaan.

“Calon akan disediakan tempat penginapan di sekolah dan
penempatan di kediaman keluarga yang mempunyai akses terdekat ke sekolah.

“Makan dan minum akan disediakan dan pihak sekolah juga bertanggungjawab ke atas kebajikan calon dan petugas peperiksaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi Jasamu Dikenang di Kota Tinggi dekat sini hari ini.

Norlizah memberitahu, JPNJ bersedia bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia membantu membawa calon sekiranya banjir berlaku di jalan menuju ke pusat peperiksaan.

Sebaliknya semua calon SPM diberi kebebasan berpakaian sepanjang peperiksaan dijalankan.

“Sekolah juga bertanggungjawab menyediakan peralatan menjawab kepada calon yang terlibat dengan banjir.

“Sekiranya pusat peperiksaan, jalan menuju ke pusat peperiksaan dan persekitarannya banjir, calon diberikan penangguhan oleh Pengarah Peperiksaan manakala tarikh menduduki Peperiksaan SPM kali kedua akan ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan,” katanya.

Seramai 48,276 pelajar di Johor dijangka akan menduduki peperiksaan SPM tahun 2023 di 364 pusat peperiksaan di seluruh negeri ini.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan kerajaan negeri akan memastikan calon-calon peperiksaan SPM yang terjejas akibat banjir akan diberi bantuan.

Persediaan itu, jelasnya, telah pun dilakukan sejak November tahun lalu dan fenomena tersebut bukannya sesuatu yang baharu di Johor.-MalaysiaGazette