GAZA CITY – Israel membunuh seorang lagi anak Ketua Biro Gaza Al Jazeera Wael Dahdouh dalam satu serangan peluru berpandu hari ini.
Hamza Dahdouh yang juga seorang wartawan bersama seorang lagi rakannya yang juga pengamal media, Mustafa Thurayya maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka meletup dibom rejim zionis.
Serangan udara berlaku di barat Khan Younis yang terletak di selatan Semenanjung Gaza ketika kedua-dua mereka sedang bertugas.
Wael Dahdouh, 52, kehilangan isteri, anak perempuan, seorang anak lelaki berusia 15 tahun dan seorang cucu yang juga anak kepada Hamza dalam serangan Israel di rumah keluarganya pada Oktober lalu.
Israel telah menjadikan pengamal media sebagai sasaran utama dengan 106 maut dalam tempoh 84 hari serangan ke atas Gaza. – Agensi