Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar. Foto WAN NABIL NASIR, 08 JANUARI 2024.

PETALING JAYA – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kesahihan dakwaan Warisan Bahagian Sepanggar ditaja kartel dadah dalam dua pilihan raya sebelum ini.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar didatangi seorang individu tidak dikenali memberi maklumat kononnya Warisan Bahagian Sepanggar menerima dana haram itu.

Beliau berkata, individu itu menyatakan kartel dadah yang kini berada dalam tahanan polis adalah penyumbang dana kepada Warisan Bahagian Sepanggar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan PRN16 di Sabah.

“G57 memohon SPRM menjalankan siasatan segera untuk mengesahkan sama ada dakwaan individu itu berasas atau sebaliknya.

“Jika Warisan terbukti menerima dana itu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sewajarnya mengharamkan parti politik itu serta-merta,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menunjuk laporan polis yang di hantar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kartel dadah Sabah di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 08 JANUARI 2024.

Terdahulu beliau membuat laporan mengenai dakwaan Warisan Bahagian Sepanggar menerima dana daripada kartel dadah bagi membiayai dua pilihan raya di Ibu Pejabat SPRM.

Zulkarnain dalam laporannya kepada SPRM meminta pihak berkuasa itu mengesahkan kebenaran maklumat itu dan beliau sedia bekerjasama untuk membantu siasatan.

“Penafian yang dibuat Ketua Penerangan Warisan Datuk Mohd Azis Jamman tidak cukup untuk meyakinkan rakyat khususnya pengundi di Parlimen Sepanggar.

“Hanya pihak berkuasa sahaja seperti SPRM dan PDRM layan untuk menyiasat dan mengesahkan sesuatu pihak atau pertubuhan bebas daripada menerima hasil daripada aktiviti haram,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Mohd Azis mahu menyaman Zulkarnain sebanyak RM100 juta kerana mendakwa Warisan Bahagian Sepanggar menerima dana daripada kartel dadah.

Mohd Azis akan berbuat demikian jika Zulkarnain tidak menarik balik kenyataannya berhubung dakwaan itu dan memohon maaf dalam tempoh tujuh hari bermula Sabtu lalu selepas pihaknya mengeluarkan surat tuntutan terhadap beliau.

Zulkarnain mengulangi pendiriannya di mana beliau tidak pernah menuduh parti itu menerima dana daripada kartel dadah sebaliknya Mohd Azis yang menuduh dirinya membuat fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Sepanggar itu.

“Sebagai aktivis politik selama hampir 30 tahun, saya tidak pernah walau sekali pun mengeluarkan kenyataan fitnah kepada sesiapa walaupun seteru saya.

“Sebaliknya ianya dibuat secara berfakta dan kerapkali menerima fitnah kerana mempertahankan kebenaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette