Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada program Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 di Hotel Sama Sama, Sepang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 08 JANUARI 2024.

SEPANG – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyita Menara Ilham milik Tun Daim Zainuddin tidak bermotifkan dendam politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun kes salah laku itu sejak sekian lama namun tindakan tegas harus diambil.

“Orang ini sapu berbilion ringgit, tiada suara, saya bukan begitu, ada pertahankan.

“Sudahlah, kes sudah lama, orang itu pun sudah tua, ada pula katakan, sudah, mengapa dendam.

“Kalau di bawah pentadbiran saya, kalau orang beritahu ada satu kes rasuah, percayalah saya tidak ada tolak ansur sama sekali,” katanya berucap merasmikan Simposium Tatakelola Baik Nasional di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Menara Ilham, bangunan 60 tingkat milik keluarga bekas Menteri Kewangan itu telah disita SPRM pada 22 Disember 2023.

Menara itu adalah tempat pertemuan Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2018.

Daim adalah ketua majlis itu yang turut merangkumi bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan jutawan Robert Kuok.

Menurut notis SPRM, agensi penguat kuasa itu merampas menara itu selepas mendapati kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Anwar juga berkata, seorang bekas Menteri Kewangan yang mempunyai perniagaan dan kekayaan di luar negara tidak layak menjadi pemimpin.

“Kalau saya sebagai Menteri Kewangan, kemudian saya ada gedung-gedung berbilion ringgit, harta di merata dunia, bank di seluruh kota di Afrika.

“(Kemudian) tidak ada yang berani menyoal selain bisik-bisikan, tidak layak jadi pemimpin di negara ini,” katanya.

Menurutnya, mana-mana individu yang ingin menjadi pemimpin perlu berani menghadapi apa sahaja risiko.

“Kalau boleh nak jadi pemimpin, mesti hadapi dengan apa jua risiko. Ini kerana wang daripada anak-anak kita dirampas, belanja sekolah, elaun untuk polis tambahan, elaun untuk pasukan bomba, semua kita teliti secara terperinci.

“Nak naik gaji sedikit untuk penjawat awam, kena ada mesyuarat, nak teliti berapa boleh naik, RM40, RM60,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

Comments are closed.