99 Wonderland Park Wildlife in the City di Selayang tampil dengan inisiatif kreatif iaitu air pancut muzikal animasi 3D pertama di negara ini.

KUALA LUMPUR – Selepas dinobat sebagai air pancut terpanjang di Malaysia tahun lepas kini sekali lagi 99 Wonderland Park Wildlife in the City di Selayang mencatatkan rekod.

Kali ini ia tampil dengan inisiatif kreatif iaitu air pancut muzikal animasi 3D pertama di negara ini.

Bertemakan Musical Dancing Fountain dengan Animasi 3D 99 Wildlife Magical Adventure difahamkan bakal menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records (MBOR) dalam masa terdekat.

Menurut Ketua Eksekutif JL99 Group yang juga pengasas 99 Wonderland Park, Datuk Seri Jeff BK Lee, idea itu timbul selepas tarikan taman reakreasi itu mendapat banyak reaksi positif.

Walaupun kos untuk membangunkan kolam tadahan itu mencecah lebih RM80 juta namun beliau berpuas hati melihat warga kota pengalaman mengujakan terutama apabila beriadah bersama keluarga.

“Ini adalah hobi saya, sambil melakukan pembangunan hartanah saya juga suka melihat sekelilingnya dipenuhi dengan kawasan rekreasi dan taman ala mini zoo dengan pelbagai spesis flora fauna selain juga lampu-lampu led terang benderang pada malam hari.

“Selepas kejayaan air pancut terpanjang di Malaysia, pertunjukan tariannya ditambah pula dengan alunan muzik tempatan tahun lalu, kini kami tampil pula dengan konsep 3D, memang benar-benar sangat menerujakan bukan sahaja kanak-kanak sebaliknya juga orang dewasa.

“Kita gunakan teknologi hebat dengan animasi cantik seolah-olah seperti figura betul, warna warni dengan jalan penceritaan berkaitan seorang watak tarzan bernama Jeff bersama empat ekor haiwan iaitu Beruang Matahari, Burung Macaw, Monyet Capuchin dan Lemur Ekor Gelang terus menjaga keharmonian hutan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pengasas 99 Wonderland, Datuk Seri Jeff BK Lee

Jeff Lee berkata, animasi 3D akan ditukar selepas dua tahun sekali dengan konsep ikut edaran zaman dengan setiap satu persembahan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad tepat pukul 8 malam manakala tarian irama muzikal pada Isnin hingga Khamis.

“Selain tarian air pancut ini, kita juga ada pelbagai aktiviti dan acara menarik dalam 99 Wonderland Park ini seperti bersiar-siar mengelilingi kolam ditemani oleh haiwan dan burung yang dilepaskan bebas.

“Kita ada macam-macam termasuklah buaya tembaga dipinjam daripada Perhilitan, beruang Matahari dan tapir.

“Bukan itu saja, ada juga haiwan yang diimport dari luar negara, kita amal konsep terbuka jadi pengunjung boleh mendekati burung, haiwan malah anak-anak kecil dapat tambah pengetahuan berkaitan pelbagai flora, fauna dan lain-lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast