Ahmad Zahid Hamidi

KOTA TINGGI – Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (Sirim) diminta menghasilkan pam berkuasa tinggi untuk ditempatkan di kawasan penempatan banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu bagi mengatasi masalah kelewatan perolehan mesin pam dari luar negara yang masih belum diterima ketika ini.

“Sirim juga diminta untuk mengeluarkan pam air berkuasa tinggi kerana tahun lalu di Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat supaya pam-pam ini dibekalkan namun disebabkan ia perlu dibeli mengikut tatacara kewangan ia belum sampai,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Jaya, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, kerajaan meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) membuat tempahan 20 unit tambahan pam penapis air yang direka bentuk Sirim.

Katanya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menerima tiga pam penapis air pada hari ini akan digunakan sebagai pam bergerak di kawasan yang terputus bekalan air.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan menerusi Nadma akan menyegerakan bantuan awal yang membabitkan dana bantuan khas RM50 juta kepada mangsa banjir di Johor.

Katanya, pembayaran seboleh-bolehnya dilakukan sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan. – MalaysiaGazette