Datuk Seri Zulkifli Yaacob

KUANTAN – Bilik Gerakan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Pahang di Aras 7 Blok B Wisma Sri Pahang, di sini, beroperasi 24 jam bermula hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata, pembukaan bilik gerakan yang menempatkan beberapa kolaborasi jabatan dan agensi terbabit pengurusan banjir itu dilakukan berikutan peningkatan bilangan pusat pemindahan semenara (PPS) di tiga daerah.

”Ia juga bagi memantau trend peningkatan paras air sungai di negeri ini, bagaimanapun keadaan banjir terkawal,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Antara jabatan dan agensi  yang sentiasa bersiap sedia di bilik gerakan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebanyak 21 PPS telah dibuka bagi menempatkan 1,075 mangsa banjir daripada 305 keluarga di daerah Pekan, Rompin dan Maran setakat jam 8 malam tadi.

Sementara itu, Zulkifli berkata, aktiviti pengagihan bantuan dan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Pahang perlu melalui pusat PKOB setiap daerah bagi mengelakkan pertindanan kerja.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan mengenai banjir di Pahang boleh menghubungi talian PKOB Negeri Pahang 09-5124532, 09-5124553, atau 09-5124567. – MalaysiaGazette