KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang akan memberikan bonus dua bulan gaji kepada penjawat awam tahun depan jika kutipan hasil tahun ini mencapai RM1.6 bilion.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bonus tersebut akan meningkat berbanding bonus satu setengah bulan tahun ini
“Sekiranya kutipan hasil tahun ini mencapai RM1.6 bilion, Insya-Allah saya beri jaminan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri akan ditingkatkan kepada dua bulan gaji tahun depan berbanding satu setengah bulan tahun ini.
“Ia sebagai motivasi kepada penjawat awam untuk mengekalkan kecemerlangan dan terus bekerja kuat memberi perkhidmatan kepada rakyat serta mencapai kutipan hasil seperti yang disasarkan,” katanya selepas Majlis Perjumpaan Menteri Besar Pahang Bersama Penjawat Awam Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah pada hari ini.
Ujarnya pencapaian terseput penting bagi menunjukkan kerajaan negeri yang ada hari ini stabil dan setiap perancangannya dapat dilaksanakan dengan betul dan menepati sasaran.
Terdahulu Pahang menetapkan sasaran kutipan hasil RM1.137 bilion tahun ini dan optimis sasaran itu mampu dicapai berdasarkan prestasi kerajaan negeri yang berjaya mencapai kutipan hasil melebihi RM1 bilion dua tahun berturut-turut.
Menurut Wan Rosdy sehingga akhir tahun 2023, jumlah kutipan hasil Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM1.306 bilion mengatasi jumlah kutipan hasil pada tahun 2022 iaitu RM1.28 bilion
Beliau berterima kasih kepada semua penjawat awam atas usaha yang telah dilaksanakan atas komitmen dan pencapaian cemerlang.
Wan Rosdy berharap semua terus menggembleng tenaga, terutamanya dalam mengurus ketirisan dan kebocoran hasil, di samping meneroka potensi-potensi pendapatan baharu yang boleh membantu meningkatkan kewangan kerajaan negeri Pahang. – MalaysiaGazette