Wan Salim.

GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menempelak cadangan pelakon, Datuk Rosyam Noor berhubung keperluan pusat-pusat pelacuran bagi warga asing melepaskan nafsu.

Tegas beliau, cadangan tersebut tidak akan membantu mengurangkan kes rogol membabitkan warga asing, sebaliknya mengundang lebih banyak masalah kepada negara.

Malah, jelas Wan Salim, mewujudkan rumah pelacuran di negara ini amat bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaannya.

“Saya amat terkejut dengan saranan oleh seorang pelakon beragama Islam agar disediakan rumah pelacuran untuk pekerja asing di negara ini.

“Saranan sedemikian jelas merupakan satu galakan kepada perbuatan maksiat dan kita yakin semua masyarakat Islam tahu bahawa zina adalah suatu jenayah yang boleh mengakibatkan kerosakan besar kepada individu, keluarga dan masyarakat.

“Selain itu, al-Quran melarang keras perbuatan zina serta menganggapkannya suatu amalan yang keji (fahisyah) dan jalan paling buruk yang dilalui oleh manusia di dalam kehidupan ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, cadangan pelakon itu juga seolah-olah menggalakkan maksiat di negara ini sedangkan ramai dalam kalangan pekerja asing itu terdiri dalam kalangan orang beragama Islam.

Katanya, tiada agama yang menyukai penganutnya terjerumus dalam perbuatan keji yang merosakkan akidah dan pekerja bukan beragama Islam sekalipun tidak sepatutnya digalakkan kepada perbuatan hina itu.

“Sepatutnya kita sama-sama membantu ke arah kebaikan dan keluhuran budi pekerti. Kita juga sepatutnya mengingatkan pekerja asing tentang bahaya melibatkan diri dalam perlakuan seperti ini serta kesan buruknya ke atas semua pihak.

“Para pekerja asing perlu dimaklumkan tentang hakikat ini dan mereka mestilah menghormati perlembagaan dan undang-undang negara yang memberi peluang kepada mereka mencari rezeki.

“Berdasarkan petikan sudah al-Isra ayat 32, hadis yang diriwayatkan Ibnu Majah, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tidak tersebar zina dalam suatu kaum sehingga mereka melakukannya secara terang-terangan melainkan mereka diliputi penyakit-penyakit berjangkit yang tidak pernah wujud dalam kalangan generasi-generasi yang terdahulu,” jelas Wan Salim.

Tambah beliau, cadangan itu juga tidak boleh menjamin bahawa rakyat negara ini, termasuk mereka beragama Islam tidak akan menjadi pelanggan rumah pelacuran yang dimaksudkan.

“Amat sukar untuk mengawal atau mencegah umat Islam daripada terlibat dalam kancah  maksiat tersebut,” katanya.

Media tempatan semalam melaporkan pelakon senior, Datuk Rosyam Nor memberikan pandangan peribadi apabila bersetuju dengan kewujudan rumah pelacuran di negara ini.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 57, berpendapat perkhidmatan itu dapat membantu mengurangkan kes rogol melibatkan warga asing yang semakin meningkat.

“Pusat pelacuran perlu sebenarnya sebab di negara kita ada lebih kurang tiga juta pendatang asing yang bekerja di sini.

“Mereka (warga asing) tengok anak dara dan bini kita, silap-silap dia rogol, boleh sampai ke tahap itu,” katanya menerusi siri podcast Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik dalam aplikasi TikTok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast