Armizan Mohd Ali

PELABUHAN KLANG – Ahli Parlimen daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd Ali mengesahkan beliau tidak pernah menandatangani sebarang dokumen bersumpah (SD) setakat ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, pentadbiran Kerajaan Perpaduan sudah memadai dan tidak perlu lagi perubahan kerajaan lain selepas ini.

“Saya tidak tandatangan mana-mana SD dan tak ada siapa pun mendekati saya pun.

“Bagi saya, cukup-cukuplah, kita tidak perlu diskusikan perkara ini.

“Masa yang ada, kita perlu pastikan, digunakan sepenuhnya untuk meneruskan agenda-agenda yang disasarkan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Ismail Yusop mendedahkan gerakan terbaru sedang dirancang bagi menjatuhkan Kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didalangi pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan.

Ismail berkata, rancangan tersebut yang digelar sebagai ‘Langkah Dubai’ timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk daripada pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Dalam pada itu, Armizan berkata, sebagai pemimpin GRS, pihaknya tidak akan melangkah ke belakang dengan menumbangkan kerajaan sedia ada.

“Sebagai pemimpin dari Sabah, GRS, apa yang penting kita lihat kepimpinan dan perpaduan sedia ada, telah memberikan komitmen yang amat tinggi.

“Macam-macam perancangan antara Kerajaan Perpaduan dan kerajaan negeri yang telah digariskan untuk menangani isu-isu legasi.

“Bergerak ke hadapan, selesaikan tempoh kerajaan sedia ada, selesaikan agenda telah diatur untuk kepentingan rakyat dan Sabah itu sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Langkah DUBAI?
    MP MP lain dialu-alukan “melangkah” dengan rela hati demi rakyat yang mengharapkan itu perlu berlaku dan benar-benar berlaku. Janganlah tunggu untuk “didekati” kerana itu tidak melanggar undang-undang dan Perlembagaan Malaysia.

Comments are closed.