GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan harga jualan bawang merah yang diimport dari India meningkat secara drastik di negeri ini sejak dua minggu lalu.
Semalam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa tinjauan yang dilakukannya mendapati rata-rata peniaga di negeri ini menjual satu kilogram (kg) bawang merah pada harga RM9.
Menurut Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan, pihaknya telah mengarahkan pegawai penguat kuasa untuk membuat pemeriksaan di lapangan bagi melihat situasi sebenar dakwaan tersebut.
“Pihak KPDN mengambil maklum aduan CAP melalui Malaysia Gazette semalam dan kita telah mengarahkan pegawai penguat kuasa untuk membuat pemeriksaan di lapangan bagi mengenal pasti punca sebenar.
“Sekiranya kita kesan peniaga menaikkan harga bawang secara tidak munasabah, mereka akan diberikan notis untuk mengemukakan maklum balas berhubung punca kenaikan itu dalam tempoh tiga hari.
“Tindakan susulan akan diambil setelah analisa dibuat secara terperinci ke atas kenaikan harga bawang import India mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas lanjut, Jegan turut mengingatkan peniaga agar tidak sesekali melakukan perubahan harga yang tidak seiring dengan kenaikan kos ditanggun,g selain perlu munasabah dalam membuat sebarang perubahan harga jual supaya tidak membebankan pengguna.
“Ini kerana peniaga tertakluk kepada peruntukan AKHAP 2011 yang mereka tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan sekiranya perubahan harga yang dibuat menunjukkan kenaikan terlalu tinggi, mendadak dan mengambil untung secara tidak munasabah atau berlebihan.
“Selain itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat jika ada peniaga yang menaikkan harga secara keterlaluan dengan menyimpan resit pembelian sebagai bukti selain memudahkan mereka untuk membuat perbandingan harga,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette semalam melaporkan gesaan CAP kepada KPDN dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk memantau kenaikan harga bawang merah India di pasaran yang dilaporkan meningkat secara drastik.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya di beberapa lokasi di Pulau Pinang menunjukkan harga bawang yang diimport dari India meningkat kepada RM9 satu kg.
“Semasa perayaan Krismas, harga bawang dikawal pada kadar RM5 sekilogram dan dalam tempoh dua minggu ia telah meningkat hampir 100%,” katanya. – MalaysiaGazette