MELAKA – Seorang penolong pengurus sebuah agensi kerajaan direman empat hari berhubung kes menerima komisen sebanyak RM18,000 daripada seorang pengarah syarikat bagi penganjuran konsert Double Trouble 2 Search x Barbarik, 5 Ogos tahun lalu.

Majistret Khairunnisak Hasni membenarkan permohonan terhadap wanita itu yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka bermula Isnin sehingga 12 Januari ini.

Menurut sumber, suspek berusia 37 tahun yang mengandung dua bulan ditahan ketika hadir di Pejabat SPRM Melaka di sini untuk memberikan keterangan pada pukul 4 etang semalam.

“Suspek sebagai pekerja syarikat urus setia geran dana konsert itu berurusan bagi mendapatkan kelulusan geran konsert di bawah agensi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berjumlah RM300,000.

“Wanita itu dipercayai meminta komisen antara 10 hingga 20 peratus berjumlah RM18,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. – MalaysiaGazette