Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman pada Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Sebanyak 9,026 laporan polis berkait jenayah scam di negeri ini telah dilaporkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, jenayah penipuan itu mencatatkan kerugian bernilai RM59 juta terhadap mangsa terlibat.

Daripada keseluruhan laporan polis yang diterima itu sebanyak 2,399 kes telah dibuka kertas siasatan.

Sepanjang tahun lalu, JSJK Pahang telah membuat 1,625 tangkapan iaitu meningkat sebanyak 31.7 peratus berbanding 1,234 jumlah tangkapan melibatkan kes penipuan di negeri ini pada 2022.

“Keldai akaun atau individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan sindiket penipuan juga antara yang ditahan terbabit dalam sindiket ini.

“Bagi pertuduhan juga menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 1,176 kes pada 2023 berbanding 957 pertuduhan pada tahun sebelumnya,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, skim pelaburan tidak wujud dan penipuan pembelian kes-kes penipuan secara dalam talian antara yang paling tinggi direkodkan pada tahun lalu.

“Antara kejayaan JSJK Pahang tahun termasuk tangkapan ke atas seorang wanita suspek utama kes tipu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM10 juta.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pula berjaya menahan lima individu termasuk dua wanita yang dipercayai terlibat dalam 35 kes simbah cat merah dan khianat di kediaman mangsa pinjaman wang haram,” jelasnya.

Susulan itu Yahaya menasihati orang ramai agar sentiasa peka dan berwaspada dengan kegiatan penipuan yang menggunakan pelbagai modus operandi bagi mengelak ditipu dan mengalami kerugian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast