Bekas ketua operasi syarikat berkaitan kerajaan diiringi pegawai SPRM Selangor hadir ke mahkamah bagi permohonan reman berkaitan rasuah lebih RM300,000 ketika di Mahkamah Majistret Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 10 JANUARI 2024.

SHAH ALAM – Seorang bekas ketua operasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) direman hari ini kerana disiasat kes mengaut keuntungan sehingga RM280,000 dengan memberikan kerja-kerja pengangkutan kepada suaminya.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman mengeluarkan perintah reman selama tiga hari terhadap wanita berusia 40-an itu selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Terdahulu, suspek hadir ke Mahkamah Majistrest Shah Alam di sini pukul 9.50 pagi diiringi beberapa pegawai SPRM Selangor.

Menurut sumber, suspek telah ditahan sekitar jam pukul 2 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan tersebut pada 2022 di mana syarikat milik suaminya telah dilantik sebagai syarikat subkontrak pengangkutan.

“Nilai kerja-kerja tersebut dianggarkan lebih RM300,000 bagi tempoh setahun bermula Mei 2022.

“Semua bayaran subkontrak berjumlah kira-kira RM280,000 telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi suspek,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim menegaskan kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette