Kamarul Zaman merasmikan Balai Polis Sri Gading hari ini.

BATU PAHAT – Polis mengesahkan dua lagi individu ditahan bagi membantu siasatan kehilangan seorang ibu tunggal, Mira Sharmila Samsusah, 32, yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya turut percaya mangsa yang lebih dikenali sebagai Bella itu masih berada dalam negara.

Menurutnya, dua individu lagi ditahan dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana culik.

“Buat masa ini kita masih lagi membuat siasatan dan ada perkembangan yang saya rasanya saya reserve (rahsia) dulu (namun) saya sahkan ada dua tangkapan dan kita telah reman mereka ini.

“Saya  tak boleh beritahu (secara terperinci) kerana kalau dedahkan mungkin sensitif kerana siasatan sedang berjalan nanti orang nak bawa keluar Bella pun tak jadi bawa keluar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Balai Polis Sri Gading di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah.

Bangunan Balai Polis Sri Gading dan enam unit kediaman mula dibina pada tahun 1919 sebelum dirobohkan pada 2003 dan dibina semula serta beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos 2008.

Terdahulu, ibu tunggal dua anak itu gagal dihubungi selepas hilang keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada pukul 11.50 malam pada 14 Disember lalu dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi.

Bagaimanapun, selepas tarikh itu dan sehingga kini, kelibat wanita terbabit terus hilang dengan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi selain mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya menunjukkan satu tanda sahaja.

Kakaknya, Norhisham Samsusah, 36, serta ahli keluarganya tampil membuat laporan polis pada 16 dan 18 Disember tahun lalu.

Susulan itu, lima individu diambil keterangan bagi membantu siasatan termasuk teman lelaki Bella yang berusia 24 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 Disember tahun lalu namun dibebaskan dengan jaminan polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast