MELAKA – Ketika isterinya sedang sibuk mencari rezeki berniaga burger, si suami pula tergamak memuaskan nafsu merogol dan mencabul dua anak tirinya di rumah sejak lima tahun lalu.
Itu tindakan keji dilakukan seorang pengawal keselamatan berusia 27 tahun yang menjadikan dua anak tirinya masing-masing berusia 13 dan 15 tahun sebagai hamba seks sejak lima tahun lalu.
Tindakan itu hanya terbongkar apabila mangsa menceritakan perbuatan itu kepada ibunya berusia 39 tahun semasa berada di rumah mereka di Lereh, Tanjong Kling, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Md Nazri Nawawi berkata, isterinya yang juga pengadu kemudian bertanyakan hal itu kepada suaminya namun dinafikannya.
“Mangsa pertama berusia 15 tahun memberitahu dirogol bapa tirinya itu sejak Tahun 4 dan ia berlaku semasa ketiadaan pengadu di rumah kerana keluar berniaga burger.
“Suspek dikatakan telah merogolnya sebanyak empat kali pada hari yang berbeza dan sering diraba semasa bersekolah rendah.
“Adiknya berusia 13 tahun juga pernah diraba sejak sekolah rendah dan kali pertama dirogol bapa tirinya itu pada malam 2 Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Md Nazri berkata, siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan itu semasa isterinya keluar berniaga antara pukul 5.30 petang hingga 10.30 malam.
“Selama ini, kedua-dua mangsa tidak menceritakan perkara itu kerana takut ibu mereka tidak mempercayai perbuatan bapa tirinya yang dikahwini ibunya tujuh tahun lalu.
“Sebab itu mangsa merahsiakannya daripada pengetahuan sesiapa dan kejadian terbongkar apabila ia diceritakan kepada nenek mereka,” katanya.
Tambahnya, susulan itu sepasukan polis telah menahan suspek di tempat kerjanya di sebuah hospital dalam daerah Melaka Tengah di sini, kira-kira pukul 11 malam tadi.
“Hasil ujian saringan air kencing bagaimanapun mendapati suspek negatif dadah.
“Mahkamah hari ini membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 16 Januari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan,” katanya.
Seksyen bagi kesalahan rogol itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette