SEOUL – Korea Utara didakwa melakukan hukuman mati terhadap individu yang telah melanggar peraturan Covid-19, dakwa sebuah badan pemikir milik Korea Selatan.
Kertas putih mengenai hak asasi manusia yang dikeluarkan oleh Korea Institute for National Unification, memetik seorang pembelot Korea Utara yang tiba di Seoul tahun lepas mendedahkan hukuman mati itu dilakukan secara terbuka.
Bagaimanapun, badan pemikir itu tidak berkongsi sebarang butiran lanjut mengenai dakwaan pelaksanaan hukuman mati itu kerana khuatir tindakan balas terhadap ahli keluarga pembelot, lapor Yonhap News.
Korea Utara melaporkan kes pertama Covid pada Julai 2020, dan pada Ogos 2022, Pyongyang mengisytiharkan berjaya mengawal jangkitan itu dan menarik balik semua sekatan di seluruh negara.
Negara itu tidak pernah berkongsi butiran kes Covid-19 dengan dunia luar, tetapi media kerajaan melaporkan 4.7 juta orang telah pulih daripada koronavirus, dengan kadar kematian 0.0016%.
Kertas putih itu juga menuduh Korea Utara menyekat akses kepada maklumat luar dan bergerak untuk mengukuhkan cengkamannya terhadap penduduk dengan meningkatkan jumlah jenayah yang boleh dihukum mati dengan menggubal undang-undang khas mengenai langkah antivirus dan jenayah dadah, menurut laporan itu.
Setakat ini, belum ada maklum balas atau reaksi dari Korea Utara terhadap laporan tersebut. – Agensi