KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan seorang warga Filipina yang cuba menyeludup beras dan minyak masak di perairan Lahad Datu, semalam.
Lelaki berusia 44 tahun itu dipercayai berada dibawah pengaruh dadah ketika ditahan berdasarkan tingkah laku dan penemuan peralatan menghisap bahan terlarang itu.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, bot peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot pam melalui maklumat awam kira-kira pukul 4.27 petang sebelum menahan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran.
Katanya, bot yang dikendalikan oleh seorang kru dalam keadaan mencurigakan itu ditahan kira-kira 0.3 batu nautika selatan rumah api Tanjung Labian, Lahad Datu.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (cubaan menyeludup beras), Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 bersama Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah semasa diperiksa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Nik Mohd Rizam, penahanan tersebut membawa kepada rampasan 200 kilogram (kg) beras, 17 kg minyak masak, sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran dan dua buah enjin pam.
Tambah beliau, beras dan minyak masak tersebut disyaki dibawa keluar untuk dijual di negara jiran dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM9,500.
Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan melaporkan maklumat salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 089-885727 (Pusat Operasi Lahad Datu) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. – MalaysiaGazette