BANDARAYA GAZA (Palestin) – Jumlah korban akibat serangan rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas, meningkat kepada 23,210 orang, menurut Kementerian Kesihatan pada Selasa.
Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya 59,167 lagi cedera.
Agensi Anadolu melaporkan sejumlah mangsa masih berada di bawah runtuhan dan di jalan-jalan raya kerana ambulans tidak dapat masuk ke lokasi serangan disebabkan serangan udara dan darat bertubi-tubi yang dilancarkan tentera Israel.
Serangan berterusan rejim itu turut memusnahkan 60 peratus infrastruktur di Gaza manakala hampir dua juta penduduk hilang tempat tinggal.
Penduduk juga bergelut dengan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan. – AGENSI BERNAMA-ANADOLU