Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) — Prospek harga minyak sawit kekal optimis pada 2024 dengan harga dagangan purata dijangka pada RM4,000 satu tan, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

MPOC dalam satu kenyataan hari ini berkata, unjuran positif itu adalah hasil daripada perubahan dinamik penawaran dan permintaan di Indonesia yang bergerak ke arah pertumbuhan negatif berikutan pelaksanaan B35 (35 peratus biobahan api berasaskan minyak sawit dan 65 peratus diesel) pada Ogos 2023.

MPOC menjangkakan defisit sebanyak 0.24 juta tan dalam bekalan minyak sawit Indonesia kerana penggunaan domestik untuk biodiesel dan makanan dijangka meningkat sebanyak 0.64 juta tan, selain itu dijangka tiada sebarang pertumbuhan dalam pengeluaran.

“Defisit itu boleh berkembang lagi jika eksport melebihi paras yang diunjurkan,” katanya.

Sementara itu, MPOC berkata stok minyak sawit Malaysia susut 4.64 peratus kepada 2.29 juta tan pada Disember 2023, mencapai paras terendah dalam tempoh tiga bulan, seiring dengan trend pengeluaran minyak sawit.

Fenomena El Nino telah meningkatkan pengeluaran minyak sawit Malaysia pada suku akhir 2023.

MPOC berkata pengeluaran minyak sawit pada suku keempat 2023 melonjak ke paras tertinggi sejak tahun 2018, meningkat sebanyak 0.16 juta tan kepada 5.27 juta tan daripada 5.11 juta tan, berbanding tempoh yang sama pada 2022.

“Trend pengeluaran yang dilihat pada suku keempat 2023 dijangka berterusan sehingga suku pertama 2024.

“Sehubungan itu, unjuran pengeluaran minyak sawit Malaysia pada 2024 akan menyaksikan pertumbuhan satu peratus, mencecah 18.75 juta tan,” katanya.

Menurut Penganalisis Pasaran Global Bebas Oil World, pengeluaran minyak dan lemak global untuk 2023/2024 diunjurkan meningkat sebanyak 3.46 juta tan.

“Penggunaan dijangka meningkat sebanyak 7.22 juta tan, didorong oleh peningkatan keperluan mandat biodiesel di Amerika Syarikat (AS), Indonesia dan Brazil.

“Akibatnya, dinamik minyak dan lemak dunia dijangka mengalami sedikit pengetatan pada separuh kedua 2024,” katanya.

MPOC berkata walaupun optimistik terhadap harga minyak sawit pada 2024, harga minyak sawit dijangka diniagakan lebih rendah pada Januari, antara RM3,600 dan RM3,850, disebabkan oleh permintaan rendah daripada negara pengimport utama dan persaingan harga daripada bunga matahari dan minyak biji sesawi.

“Pada bulan Disember, harga premium minyak bunga matahari dan biji sesawi berbanding minyak sawit di pasaran Eropah masing-masing hanya US$3 dan US$39, berikutan penghancuran biji bunga matahari dan biji sesawi yang luar biasa tinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Januari dan Februari adalah bulan eksport rendah bermusim di Malaysia dengan eksport pada Januari dan Februari 2023 masing-masing pada 1.13 dan 1.12 juta tan,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast