Saifuddin Nasution mendengar taklimat mengenai keadaan banjir di Kota Tinggi. Foto FB Polis Johor

KOTA TINGGI – Penduduk di Kota Tinggi diminta bersiap sedia untuk berpindah sekiranya banjir susulan Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) meramalkan daerah ini akan dilanda hujan lebat pada hujung minggu ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, terdapat sebanyak 65 hotspot banjir di daerah itu dan penduduk dinasihatkan untuk peka dan mengambil tahu ramalan cuaca yang dikeluarkan Met Malaysia untuk mereka lebih bersiap sedia.

Beliau berkata perkara itu susulan laporan yang diterima pihaknya, mengenai masih ada penduduk di situ yang berlengah ketika diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) oleh pihak berkuasa, semasa banjir melanda Kota Tinggi pada 7 Jan.

“Walaupun individu yang berbuat demikian tidak ramai, saya ingin nasihatkan mereka untuk tidak lagi berbuat demikian apabila pasukan penyelamat sampai di kediaman mereka, kerana jika pasukan penyelamat telah sampai, bermakna misi menyelamat telah pun bermula.

“Arahan untuk berpindah ini kita keluarkan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan dan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya selepas meninjau PPS Dewan Vokasional Kota Tinggi dan Dewan Kota Kecil Kota Tinggi, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata pihak polis memaklumkan tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian pecah rumah dan premis perniagaan berlaku sejak banjir berlaku sejak 7 Jan lepas.

Ditanya mengenai pengurusan pasca banjir, Saifuddin Nasution berkata agensi kerajaan yang terlibat telah mempunyai prosedur operasi standard yang jelas di peringkat daerah, negeri dan nasional bagaimana untuk menggerakkan aset dan anggota bagi membantu mangsa banjir pada fasa berkenaan.

Situasi banjir di Kota Tinggi yang merupakan daerah paling teruk dilanda bencana itu, dilihat semakin baik berikutan penurunan jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS kepada 4,139 setakat 6 petang ini.

Pemerhatian Bernama di kawasan sekitar daerah itu juga mendapati banjir surut sepenuhnya di jalan-jalan utama di pusat bandar, yang sebelum ini ditutup sepenuhnya sehingga semalam kerana dinaiki air setinggi hingga dua meter. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast