Keadaan pusat kesihatan Gaza yang kini semakin runtuh.

GAZA CITY – Sektor kesihatan di Semenanjung Gaza semakin teruk akibat serangan berterusan oleh Israel yang menghampiri hari ke-100.

Ketua Setiausaha Rendah untuk Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Martin Griffiths bertegas serangan Israel ke atas Gaza perlu dihentikan serta-merta.

“Sektor kesihatan di Gaza perlahan-lahan “tercekik” apabila hospital terus diserang. Dan apa yang berlaku apabila sistem kesihatan runtuh?

“Ibu hamil tidak dapat melahirkan bayi mereka dengan selamat. Kanak-kanak tidak boleh mendapatkan vaksin. Orang sakit dan cedera tidak boleh mendapatkan rawatan. Orang mati,” tulis Martin Griffiths di X.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB Stephane Dujarric berkata lebih banyak tembakan dilaporkan berlaku di sekitar Hospital Al Aqsa di Deir Al Balah.

Tambah Dujarric, sistem kesihatan di Gaza pada asasnya telah runtuh dan usaha menyelamatkan nyawa mereka yang cedera dan sakit semaki sukar.

“Rakan kongsi kemanusiaan kami mengatakan setakat semalam, hanya satu perlima daripada 5,000 katil yang diperlukan untuk memenuhi keperluan trauma dan kecemasan di Gaza tersedia.

“Dan daripada 77 pusat kesihatan primer, lebih tiga perempat tidak berfungsi — menyebabkan ramai orang di Gaza tanpa akses kepada perkhidmatan kesihatan asas,” kata Dujarric kepada pemberita.

Dujarric memberi amaran bahawa 1.9 juta orang yang telah melarikan diri akibat konflik berisiko tinggi penyakit berjangkit disebabkan oleh keadaan hidup yang buruk, tempat perlindungan yang sesak dan kekurangan akses kepada kemudahan air, sanitasi dan kebersihan yang betul.

Israel telah menyerang wilayah Palestin sejak serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin, Hamas, pada 7 Oktober.

Keganasan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 23,357 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan 59,410 yang lain.

Kira-kira 85 peratus penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal, manakala semua penduduk tidak selamat makanan, menurut PBB.

Beratus-ratus ribu orang hidup tanpa perlindungan, dan kurang daripada separuh daripada trak bantuan memasuki wilayah itu berbanding sebelum konflik bermula. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast