Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berucap pada Majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. Foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menganjurkan jelajah atau Jerayawara Kampus Madani ke seluruh negara dalam memperkasakan hala tuju pendidikan tinggi negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, jelajah itu juga bertujuan mendapatkan pandangan semua pihak dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia yang baharu.

Menurutnya, pelan itu merupakan lanjutan dan kesinambungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025 yang akan tamat pada tahun depan.

“Saya beri masa 12 bulan kepada KPT mengenal pasti tahap pencapaian dan bedah siasat secara menyeluruh masalah yang berlaku dalam institusi pendidikan.

“Selain itu saya bersama Timbalan Menteri Pendidikan serta pengurusan tertinggi KPT juga akan turun padang bagi mendapatkan situasi sebenar serta mendengar sendiri keluh kesah pelajar. Kita mahu pastikan aspek kebajikan mahasiswa akan dititik beratkan,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berucap pada Majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. Foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2024.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Landasan Hala Tuju KPT 2024 di Dewan Tunku Cancelor, Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Katanya, pelan baharu yang akan dibangunkan itu perlu mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan melalui sesi libat urus lebih menyeluruh.

“Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) yang ditubuhkan pada tahun lalu sudah memperhalusi dasar semasa dan mengemukakan saranan penambahbaikan bagi tempoh jangka pendek dan sederhana.

“NRC sudah menyediakan landasannya, namun skop dan terma rujukannya tidak termasuk penetapan hala tuju jangka panjang pendidikan tinggi negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast