Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang menurun sedikit kepada 5,800 mangsa yang masih berlindung di 45 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 6 pagi ini, berbanding 5,897 mangsa pada tengah malam tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan trend penurunan kepada 5,020 mangsa berbanding 5,117 orang malam tadi.

Sejumlah 1,397 keluarga masih berlindung di 36 PPS di enam daerah melibatkan 24 PPS di Kota Tinggi yang menempatkan 4,135 mangsa, tiga PPS masing-masing di Kluang (350 mangsa), Johor Bahru (336 mangsa) dan Segamat (95 mangsa); dua PPS di Batu Pahat (87 mangsa) serta sebuah PPS di Pontian (17 mangsa).

Bagi situasi semasa banjir di Pahang, sejumlah 780 mangsa masih berlindung di sembilan PPS yang beroperasi di tiga daerah iaitu lima PPS di Rompin yang menempatkan 191 mangsa, tiga PPS di Pekan (564 mangsa) dan sebuah PPS di Maran (25 mangsa).

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati dua sungai di Johor masih merekodkan paras bahaya iaitu Sungai Johor di Kota Tinggi dan Sungai Endau di Kluang.

Di Pahang, Sungai Pahang di Pekan, Bera dan Maran serta Sungai Rompin turut mencatatkan paras bahaya, begitu juga di dua lokaliti lain iaitu Sungai Arau di Perlis dan Sungai Terengganu di Kuala Terengganu, Terengganu.

Laporan itu turut memaklumkan terdapat 61 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh, antaranya di Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu; Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor dan Jalan Pekan Sehari Kampung Awah di Maran, Pahang. – Bernama