Khaled Nordin bertanyakan khabar kepada salah seorang penduduk terjejas banjir ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gembut, Tanjung Sedili, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI –  Kementerian Pertahanan menggerakkan Markas 7 Briged Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Johor untuk kerja-kerja pembersihan dalam tempoh proses pasca banjir.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata aset ATM juga telah digerakkan bersama-sama terutamanya untuk membantu dalam kerja-kerja itu.

“Di setiap briged itu dia memang sudah ada kawasan-kawasan yang ditentukan,” katanya selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gembut, Tanjung Sedili, Kota Tinggi hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi juga mengalu-alukan badan sukarela untuk bersama-sama menyertai kerja pembersihan dan membantu untuk mangsa-mangsa balik ke rumah masing-masing.

Katanya, terdapat 27 PPS telah dibuka di Kota Tinggi.

Namun, keadaan sudah bertambah baik dan PPS ditutup secara berperingkat. – MalaysiaGazette