Gambar hiasan

SEREMBAN – Polis menafikan video tular sejak semalam yang mendakwa seorang lelaki hilang tangan akibat digigit harimau dalam kejadian di Bahau dekat sini.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata, sebaliknya kejadian itu dipercayai berlaku di Indonesia serta telah dilaporkan oleh media negara berkenaan, dua hari lepas.

Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat tanpa pengesahan daripada pihak berkuasa sehingga boleh menimbulkan kebimbangan masyarakat.

“Saya difahamkan video itu berlaku di Indonesia dan kecederaan hilang tangan kerana digigit buaya. Setakat ini di Balai Polis Bahau, kami tidak menerima sebarang laporan daripada orang awam berkenaan kes gaduh yang mendatangkan kecederaan ataupun digigit harimau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hoo berkata, mana-mana individu boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998  atas penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana berniat menyebabkan ketakutan kepada awam.

Terdahulu, tular audio dan video di aplikasi WhatsApp mendakwa kejadian terbabit berlaku di Bahau dan penduduk setempat diminta berhati-hati susulan serangan harimau itu. — BERNAMA